Sunday, 9 March 2014

KO-KURIKULUM HBEF2703 (PERMAINAN TRADISIONAL 'SEPAK TAKRAW')

E-PORTFOLIO EDUCATION


AKTIVITI 1 – PENCARIAN MAKLUMAT



1.0 Latar belakang mengenai permainan tradional di Malaysia.
      Sepak takraw tidak mempunyai sejarah bertulis bagi menerangkan atau membuktikan permulaannya. Tambahan pula sepak takraw hanya dimainkan di negara-negara Asia. Oleh yang demikian tidak ada sebarang catatan sama ada dalam buku atau majalah di dunia tentang sepak takraw.
            Walau bagaimanapun menurut beberapa buku sejarah, sudah terdapat sejenis permainan yang menggunakan bola rotan dimainkan pada zaman kesultanan Melaka. Permainan ini disebut sepak raga dan popular di kalangan muda-mudi zaman itu, termasuk golongan istana. Ia sering pula di mainkan sebagai pertunjukan dalam acara-acara keramaian. Adakalanya sepak raga bulatan ini dipertandingkan.
            Dalam buku Sejarah Melayu (Bab 18) ada disebut mengenai permainan ini. Anak Bendahara Paduka Raja, iaitu Tun Besar telah mati dibunuh oleh Raja Muhammad anak kepda Sultan Mansor Shah kerana bola raga sepakan Tun Besar terkena destar Raja Muhammad sehingga destar itu terjatuh ke tanah. Ketika itu Tun Besar sedang bermain sepak raga bersama rakan-rakannya di sebuah halaman. Sedang mereka asyik bermain datanglah Raja Muhammad lalu membunuh Tun Besar sehingga mati.
            Dengan demikian, ternyata bahawa sepak takraw berasal dari negara kita dan merupakan salah satu permainan tertua di dunia. Ia juga adalah peninggalan nenek moyang kita yang kini lebih merupakan salah satu permainan popular di sini. Ketika itu sepak raga atau sepak raga bulatan dimainkan di suatu kawasan lapang. Caranya ialah dengan menyepak atau menanduk bola raga ke udara bergilir-gilir di antara ahli-ahli dalam satu-satu pasukan yang biasanya terdiri daripada enam orang atau lebih. Pertamanya, setiap ahli dalam pasukan akan membentuk bulatan. Seorang pemain akan memulakan permainan dengan mencampak bola raga kepada seorang pemain lain. Pemain ini akan menyepak sebelum memberikan bola itu kepada pemain lain. Sepakan dibuat dengan menggunakan bahagian dalam kaki.


     1.1 Permulaan Sepak Raga Jaring.

            Sepak raga jaring diperkenalkan pada tahun 1945. Dalam permainan versi baru ini cara permainan diubahsuai dan dimainkan oleh enam orang pemain dengan tida orang sepasukan. Pada peringkat awalnya, tiada peraturan khusus, hanya undang-undang mulut sahaja digunakan.
            Walau bagaimanapun pengaruh sukan badminton ketika itu telahh merubah corak permainan sepak raga kepada permainan yang lebih teratur. Tiga orang pemain yang merupakan pelopor permainan sepak raga jaring ini ialah Encik Mohamad Abdul Rahman, Encik Abdul Hamid Mydin dan encik Yaacob Sayyed. Bersama beberapa orang pemain lagi mereka mengadakan permainan pertunjukan di Gelanggang Hospital Haiwan, Jalan Patani, Pulau Pinang. Perlawanan itu ialah antara pasukan Jalan Hutton dengan pasukan Jalan Patani. Pertandingan ini mendapat sambutan meriah walaupun banyak yang mengganggapnya ganjil.
            Permainan sepak raga jaring ini terus berkembang dari semasa ke semasa dan sikapnya sebagai pengisi masa lapang suatu masa dahulu, kini telah diterima sebagai satu bentuk sukan yang diminati, khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Pertandingan dan perlawanan sepak raga menggunakan jaring ini sering diadakan dan sambutan yang diterima adalah menggalakan.
            Tidak beberapa lama kemudian nama sepak raga jarring telah diubah kepada sepak takraw. Pertukaran nama ini turut membawa bersama beberapa perubahan. Antaranya ialah penggunaan bola yang lebih besar dan gelanggang yang lebih kecil.

 

AKTIVITI 2 – PERSEDIAAN SEBELUM PERTANDINGAN   
2.0 Peralatan, Pemain dan Undang-undang

       2.1 Gelanggang


            Permainan sepak takraw boleh dimainkan di gelanggang terbuka ataupun gelanggang tertutup. Gelanggan terbuka adalah daripada tanah berumput, tanah berpasir ataupun daripada simen. Luas gelanggang sepak takraw ialah 13.42 m x 6.1 m atau 44 kaki x 20 kaki. Gelanggang ini hendaklah bebas daripada sebarang rintangan sehingga ketinggian 7.32 m atau 24 kaki dan diukur dari paras lantai. Di keliling gelanggang ini dipagari oleh garisan yang menjadi sempadan gelanggang. Garisan ini tidak lebih daripda 0.04 m atau 1 ½ inci. Di tengah-tengah gelanggang dipisahkan dengan suatu garisan teras yang juga berukuran 0.04 m. Garisan inilah yang memisahkan gelanggang kepada dua bahagian atau petak yang sama besar. Pada tiap-tiap penjuru petak gelanggang iaitu di garisan teras suku bulatan jejari yang  panjangnya 0.9 m ( 3 kaki ) disediakan. Penjuru petak ini ialah untuk menempatkan semua pemain apit semasa pasukannya membuat sepakan permulaan atau servis. Bulatan sepak mula atau bulatan tekong berukuran 0.32 m atau satu kaki jejarinya, hendaklah digariskan dan diukur daripada pusatnya sejauh 2.45 m (8 kaki) ke garisan belakang 4.25 m dari garisan tengah dan 3.05 m (10 kaki) ke garisan tepi.

        2.2 Tiang dan Jaring.

            Dua batang tiang hendaklah dipasang di penghujung garisan teras di tengah-tengah gelanggang. Tiang ini tingginya 1.55 m atau 5 kaki 1 inci, dari permukaan lantai dan hendaklah cukup teguh untuk menahan ketegangan jaring. Jaring untuk permainan sepak takraw adalah lebih kuat dan teguh daripada jaring untuk badminton. Ini penting kerana selain bertujuan membahagikan gelanggang pada dua pihak, ia juga bertujuan untuk menahan dan melantunkan setiap bola yang terkandas ke dalamnya. Untuk permainan ini jarring hendaklah diperbuat daripada tali biasa atau benang nilon dengan siratnya antara 4 cm (1 ½ inci) hingga 5.3 cm (2 inci) lebar. Panjang jaring ialah tidak lebih daripada 6.71 m (22 kaki) dan lebarnya pula tidak lebih daripada 0.72 m (2 kaki 4 inci)


       2.3 Bola Takraw

            Pada peringkat awal permainan, yakni permainan sepak raga bulatan, bola yang diperbuat daripada rotan berbentuk bulat digunakan. Bola ini adalah lebih ringan dan kecil daripada sepak takraw sekarang. Bola ini mudah melantun apabila disepak atau ditanduk. Di dalam permainan sepak takraw bolanya lebih besar sedikit iaitu lilitannya adalah antara 0.41 m sehingga 0.43 m (16 inci hingga 17 inci). Berat bola takraw ialah tidak kurang daripada 160 gram dan tidak lebih  daripada 180 gram.

      2.4 Pemain

            Permainan sepak takraw ditandingi di antara dua regu yang terdiri daripada tiga orang pemain satu-satu regu. Dalam satu pasukan biasanya mengandungi tiga regu dan terdapat juga pasukan yang terdiri lima regu. Salah seorang daripada tiga pemain dalam sesuatu regu dinamakan tekong dan dia hendaklah berada di belakang gelanggang di sebelah pasukannya. Fungsi utama tekong ialah membuat sepakan mula dan mengumpan bola kepada pemain di bahagian hadapan. Dua orang pemain yang berada di bahagian hadapan gelanggang dinamakan apit kiri bagi yang kedudukannya di sebelah kiri gelanggang dan apit kanan bagi yang berada di sebelah kanan. Tugas utama pemain apit sama ada kiri atau kanan ialah mematikan bola ke pihak lawan dan mengumpan bola untuk disepak oleh tekong. Apit juga akan bertanggungjawab dalam membuat halangan kepada pemain apit pasukan lawan semasa mereka membuat rembatan atau tandukan.

     2.5 Pegawai-pegawai
            2.5.1 Pengadil

                       

       Pengadil biasanya dilantik oleh jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada seorang yang berkelayakan mengikut takrifan penganjur. Pengadil harus faham sepenuhnya undang-undang permainan. Antara tugas utama pengadil ialah :

  1. Mengira mata
  2. Menentukan perkara-perkara yang dikira batal, kasar atau yang lainnya yang boleh menjejaskan  permainan. 
  3. Mengenakan sebarang tindakan yang sesuai dengan setiap kesalahan yang dilakukan oleh pemain. 
  4. Menguji bola, jaring dan memastikan pemain dan pegawai seperti pakaian, kedudukan dan tatatertib
  5. Berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat atau keputusan daripada penjaga teras dan penjaga garisan.


            2.5.2 Penjaga Teras
            Kedudukan penjaga teras ini ialah di bahagian yang bertentangan dengan pengadil rasmi iaitu berhampiran dengan jaring. Tugasnya ialah membantu pengadil dalam menentukan kesalahan, kiraan mata, pembatalan dan sebarang tindakan atau perlakuan yang bertentangan dengan peraturannya. Ia juga akan membantu pengadil jika berlaku sebarang kekeliruan atau kekecohan.

           2.5.3 Penjaga Garisan
            Secara rasminya terdapat enam orang penjaga garisan iaitu dua di kedua-dua bahagian belakang gelanggang dan empat di bahagian tepi gelanggang. Tugas utama penjaga garisan ialah menentukan dengan menyebut ‘keluar’ atau ‘dalam’ setiap bola yang terjatuh di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan mereka. Setiap penjaga garisan harus berada di tempat masing-masing sehingga permainan tamat.

No comments:

Post a Comment